HIDUP DAN MATIKU HANYA UNTUK ISLAM..

HIDUP DAN MATIKU HANYA UNTUK ISLAM..
albiruni

SK Pahang Tua

SK Pahang Tua
jqaf

Monday, January 25, 2010

PERKARA YANG MEMBATALKAN KEISLAMAN SESEORANG

HAL-HAL YANG MEMBATALKAN KEISLAMAN SESEORANG

Pertanyaan:

Apa yang menyebabkan Islam seseorang menjadi batal?

Jawab:

Setiap manusia, apabila telah mengucapkan dua kalimat Syahadat, maka dia menjadi orang Islam. Baginya wajib dan berlaku hukum-hukum Islam, yaitu beriman akan keadilan dan kesucian Islam. Wajib baginya menyerah dan mengamalkan hukum Islam yang jelas, yang ditetapkan oleh Al-Qur'an dan As-Sunnah.

Tidak ada pilihan baginya menerima atau meninggalkan sebagian. Dia harus menyerah pada semua hukum yang dihalalkan dan yang diharamkan, sebagaimana arti (maksud) dari ayat di bawah ini:

"Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang Mukmin dan tidak (pula) bagi wanita yang Mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan sesuatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka ..." (Q.s. Al-Ahzab: 36) .

Perlu diketahui bahwa ada diantara hukum-hukum Islam yang sudah jelas menjadi kewajiban-kewajiban, atau yang sudah jelas diharamkan (dilarang), dan hal itu sudah menjadi ketetapan yang tidak diragukan lagi, yang telah diketahui oleh ummat Islam pada umumnya. Yang demikian itu dinamakan oleh para ulama:

"Hukum-hukum agama yang sudah jelas diketahui."

Misalnya, kewajiban salat, puasa, zakat dan sebagainya. Hal itu termasuk rukun-rukun Islam. Ada yang diharamkan, misalnya, membunuh, zina, melakukan riba, minum khamar dan sebagainya.

Hal itu termasuk dalam dosa besar. Begitu juga hukum-hukum pernikahan, talak, waris dan qishash, semua itu termasuk perkara yang tidak diragukan lagi hukumnya.

Barangsiapa yang mengingkari sesuatu dari hukum-hukum tersebut, menganggap ringan atau mengolok-olok, maka dia menjadi kafir dan murtad. Sebab, hukum-hukum tersebut telah diterangkan dengan jelas oleh Al-Qur'an dan dikuatkan dengan hadis-hadis Nabi saw. yang shahih atau mutawatir, dan menjadi ijma' oleh ummat Muhammad saw. dari generasi ke generasi. Maka, barangsiapa yang mendustakan hal ini, berarti mendustakan Al-Qur'an dan As-Sunnah.

Mendustakan (mengingkari) hal-hal tersebut dianggap kufur, kecuali bagi orang-orang yang baru masuk Islam (muallaf) dan jauh dari sumber informasi. Misalnya berdiam di hutan atau jauh dari kota dan masyarakat kaum Muslimin.

Setelah mengetahui ajaran agama Islam, maka berlaku hukum baginya.

Fatwa Al-Qardhawi
Permasalahan, Pemecahan dan Hikmah
Dr. Yusuf Al-Qardhawi

Sunday, January 24, 2010

PENYUSUNAN FAIL PANITIA BAHASA ARAB SEKOLAH RENDAH

1. MINIT MESYUARAT PANITIA.


2. SURAT MENYURAT DAN PEKELILING


3. MAKLUMAT GURU

3.1 Butir Peribadi.
3.2 Jadual Waktu Peribadi.
3.3 Hasilan BBM
3.4 Rekod Penggunaan BBM
3.5 Senarai Buku Teks
3.6 Senarai Buku Rujukan Guru


4. SUKATAN DAN HURAIAN SUKATAN PELAJARAN

4.1 Sukatan Pelajaran
4.2 Huraian Sukatan Pelajaran
4.3 Rancangan Pelajaran Tahunan.
- Tahun 1 hingga tahun 6


5. PERANCANGAN PENINGKATAN PANITIA

5.1 Perancangan Jangka Panjang.
5.2 Perancangan Tahun Semasa.
5.3 Perancangan Operasional.


6. PERKEMBANGAN STAF


7. BANK SOALAN

7.1 Soalan Peperiksaan Dalaman.
7.2 Soalan Peperiksaan Awam
7.3 Soalan Latihan


8. ANALISIS UJIAN DAN PEPERIKSAAN / PKSR

8.1 Jadual Peperiksaan.
8.2 Analisis Peperiksaan.
8.3 Post Mortem
8.4 Tindakan Susulan


9. PERSATUAN BAHASA ARAB

9.1 Perancangan Tahunan Persatuan
9.2 Carta Organisasi
9.3 Perlembagaan
9.4 Senarai Ahli
9.5 Rekod Kehadiran Ahli
9.6 Rekod Aktiviti Mingguan


10. LAPORAN PROGRAM / AKTIVITI

10.1 Laporan setiap aktiviti yang dijalankan.


11. FAIL KEWANGAN

11.1 Anggaran Perbelanjaan Tahunan.
11.2 Senarai Bahan Hendak Dibeli.


12. PENCERAPAN / PENYEMAKAN BUKU LATIHAN

12.1 Laporan Pencerapan Guru.
12.2 Laporan Penyemakan Buku Latihan.
Dicatat oleh Mohamed Hafifi Bin Abdul Ghani di 5:02 PM

RAHSIA MAHIR BERBAHASA ARAB

Ramai di kalangan kita pernah belajar Bahasa Arab sama ada secara rasmi ataupun tidak. Bagaimanapun kebanyakan mereka masih ada yang mengeluh menyatakan belum dapat menguasai kemahiran Bahasa Arab.

Ada juga yang bertanya, apakah rahsia untuk mahir berkomunikasi dalam Bahasa Arab? Apakah tip mudah untuk menguasai bahasa Nabi ini? Apakah teknik mudah untuk memahami dan mendalami bahasa ini dengan mudah? Berapa lama pula masa yang diperlukan?

Sehubungan itu, penulis ingin mengajak para pembaca untuk sama-sama berkongsi pengalaman bagaimana kita boleh meningkatkan kemahiran berbahasa Arab.

Secara umumnya, jika kita tahu cara dan teknik yang betul dan sesuai untuk mahir dalam bahasa al-Quran, ia adalah sangat mudah. Pendekatan teknik mudah inilah yang jarang didedahkan kepada para pelajar. Dalam hal ini, kita memiliki banyak kelebihan anugerah Allah yang kita tidak manfaatkan secara maksimum.

Dengan kata lain, kita perlu memasukkan beberapa unsur yang sering dilupakan dalam pembelajaran biasa. Antara unsur itu ialah konsep kata pinjaman, zikrullah, panggilan mesra berkomunikasi, intonasi yang sesuai, bahasa badan yang meyakinkan dan penggunaan ayat al-Quran dan hadis.

Pendekatan belajar mudah bahasa Arab ini menggabungkan beberapa elemen penting dan beberapa konsep unik yang kita abaikan sebelum ini. Antara konsep itu ialah:

* Konsep Memanfaatkan Kelebihan Memiliki Kata Pinjaman.

Kita sebagai rakyat Malaysia yang telah menguasai Bahasa Melayu dikira cukup bertuah berbanding rakyat Argentina, Jepun, Brazil dan lain-lain. Bahasa yang mereka tuturkan hampir tiada persamaan dengan bahasa Arab. Ini berbeza dengan bahasa Malaysia yang kita gunakan seharian.

Dalam Kamus Dewan sahaja terdapat lebih 1,700 perkataan berasal daripada perkataan Arab. Jadi apalah salahnya, kata pinjaman yang berasal daripada bahasa Arab itu kita gunakan semula dalam membina ayat mudah dalam bahasa Arab.

Dalam peperiksaan Bahasa Arab Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), calon dikehendaki menulis karangan sekurang-kurangnya 150 patah perkataan. Ini sudah tentunya amat mudah kerana kita ada lebih 10 kali ganda daripada itu iaitu 1,700 patah perkataan dalam bahasa ibunda kita. Cuma, persoalannya bagaimana kita menggunakan kelebihan ini.

Untuk itu, satu kaedah baru telah diperkenalkan yang diberi nama MUKADDAM. Kaedah MUKADDAM ini adalah singkatan (Membandingkan Unsur-unsur Kalimah Arab Dengan Dialek Alam Melayu).

Ia adalah satu pendekatan mudah belajar bahasa Arab terutamanya untuk rakyat Malaysia yang sudah menguasai Bahasa Melayu. Konsep yang ingin diketengahkan sebenarnya cukup mudah.

Setiap hari cuma satu kata pinjaman sahaja yang akan dihurai, diguna dan dipraktikkan. Inilah yang dikatakan, sehari sehelai benang, lama-kelamaan menjadi selembar kain.

Begitu juga dalam konteks belajar bahasa Arab yang mudah ini. Sehari satu kata pinjaman lama kelamaan as-hala qamusin. Apa yang dimaksudkan dengan as-hala qamusin ialah sebuah kamus yang paling mudah difahami.

* Konsep Zikrullah
Ada satu soalan yang sering ditanya kepada kita. Kebanyakan daripada kita pun pasti akan menjawabnya dengan jawapan yang sama atau hampir sama. Soalan itu ialah Kaifa haluk? (Apa khabar saudara?) Jawapannya ialah Ana bikhair wal hamdulillah (saya baik dan alhamdulillah).
Apa yang ingin dibicarakan di sini ialah jawapan alhamdulillah iaitu menyebut nama Allah.

Persoalannya kenapa soalan ini sahaja kita menjawabnya dengan menyebut nama Allah? Kenapa dalam soalan lain atau suasana yang lain kita tidak mampu menyebut nama Allah?

Sehubungan itu, kita akan mengaitkan apa saja ayat yang kita bina dengan satu zikrullah yang paling sesuai. Dalam hal ini sekiranya kita mudah mengingati Allah, Allah akan memudahkan kita untuk belajar mengingati perkataan lain.

l. Konsep Panggilan Mesra

Dalam komunikasi berkesan kita digalakkan menyebut nama, gelaran atau pangkat seseorang. Dalam al-Quran, perkataan ya... (seruan yang bermakna wahai…) disebut sebanyak 361 kali.
Sehubungan itu kita boleh mulakan dengan panggilan mesra atau panggilan mesra diletakkan di awal atau di hujung percakapan.

Terdapat dua faedah utama yang boleh kita peroleh sekiranya kita menggunakan konsep ini. Faedah pertama kita dapat membanyakkan atau memanjangkan ayat yang kita bina. Faedah kedua pula dapat mengeratkan hubungan komunikasi antara kita dan orang yang kita hubungi.

* Konsep Intonasi

Dalam pembelajaran bahasa Arab secara tradisional, para pelajar dikehendaki membaca beberapa ayat dalam satu intonasi sahaja. Oleh itu dalam kaedah mudah ini, pelajar dikehendaki melakonkan satu perkataan dalam pelbagai intonasi.

Sebagai contohnya perkataan La yang bermakna tidak atau penafian. Seorang pelajar yang menghayati bahasa Arab mampu membuat pelbagai intonasi yang sesuai berdasarkan masa, tempat dan kedudukan walaupun hanya satu perkataan.

Perkataan La boleh dialunkan intonasinya dalam keadaan biasa, menafikan cara lembut, menafikan secara bersungguh-sungguh, menafikan cara keras, secara mengada-ngada, geram, marah, bersahaja, terkejut, kagum dan sebagainya.

* Konsep Bahasa Badan

Ini diambil dari konsep iman iaitu membenarkan dalam hati, melafazkan dengan lidah dan melakukan dengan anggota badan. Dalam pembelajaran bahasa Arab secara tradisional, para pelajar hanya menggunakan dua pertiga sahaja. Mereka jarang menggunakan anggota badan untuk membantu pertuturan mereka.

Sehubungan itu, berteraskan modal insan, para pelajar dikehendaki menggunakan bahasa badan mereka sebagai sokongan. Ini secara tidak langsung akan memudahkan mereka berinteraksi dengan lebih menyakinkan dan menyenangkan mereka menghafal perkataan baru.

Dalam hal ini, kita ambil satu contoh mudah. Mr. Bean, seorang pelakon popular telah mengaplikasikan konsep iman ini dengan menjadikan bahasa badan sebagai teras dalam aksi komedinya.

Filem beliau terkenal, difahami dan diterima pakai di seluruh dunia. Kini, beliau boleh dikatakan seorang yang berjaya dalam bidang lakonan. Kenapa anda tidak mahu mencuba konsep iman ini semasa belajar Bahasa Arab?

* Konsep Pengukuhan Dengan ayat al-Quran, al-hadis dan Kata-kata hikmat

Untuk pengukuhan kita gunakan perkataan yang digunakan dalam al-Quran, hadis atau kata-kata hikmah. Sebagaimana kita maklum, bahasa al-Quran tidak boleh ditandingi oleh mana-mana pakar bahasa.

Begitu juga dengan al-Hadis dan kata-kata hikmat dalam bahasa Arab yang boleh dijadikan sebagai panduan penting dalam mempelajari bahasa Arab ini.

Sehubungan itu, kita sepatutnya menggunakan kekuatan yang kita ada ini berbanding pelajar yang belajar bahasa-bahasa lain selain daripada bahasa Arab tidak dapat menggunakan kelebihan ini. Jika kita tidak memanfaatkan kelebihan ini, sudah tentu kita akan mengalami suatu kerugian besar.

dikutip dari Blog Mohamed Hafifi Bin Abdul Ghani di 6:51 PM

BOLEHKAH BAYAR ZAKAT KEPADA SAUDARA MARA

ZAKAT KEPADA SAUDARA MARA
Assalamualaikum ust
Saya ada dua soalan:
1- Bolehkah bayar zakat kepada sanak saudara yang hampir seperti adik beradik sendiri?
2- Bolehkah ister bayar zakat kepada suami atau sebaliknya?

JAWAPAN
Menurut pandangan yang paling masyhur di kalangan ulamak; orang-orang yang wajib kita menanggung nafkah mereka, tidak harus kita memberi zakat kita kepada mereka. Menurut mazhab Syafi’ie; orang-orang yang wajib dinafkahi terdiri dari;
1. Zuriat kita; merangkumi anak, cucu dan cicit.
2. Asal kita; merangkumi bapa, ibu, datuk, nenek dan sebagainya
3. Isteri
Ahli-ahli keluarga di atas tidak harus kita memberi zakat kepada mereka. Adapun ahli-ahli keluarga yang lain yang tidak wajib kita menanggung nafkah mereka seperti saudara-saudara (yakni adik, abang atau kakak), bapa saudara, ibu saudara, anak saudara dan sebagainya harus kita memberi zakat kita kepada mereka dengan syarat mereka termasuk dalam lapan golongan yang layak terima zakat. Sila baca juga jawapan saya sebelum ini; (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/08/zakat-kepada-adik-beradik-yang.html) dan (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/07/bayar-zakat-kepada-ibubapa.html).
Adapun seorang wanita memberi zakat kepada suaminya (yang fakir atau miskin), terdapat tiga pandangan dari ulamak;
1. Menurut mazhab Syafi’ie, Ibnu al-Munzir dan as-Sauri; harus kerana isteri tidak wajib menanggung nafkah suaminya. Malah pahala yang ia perolehi dengan memberi zakat kepada suami lebih besar dari ia memberinya kepada orang lain berdalilkan hadis dari Abu Sa’id al-Khudri r.a. yang menceritakan; “Zainab isteri Ibnu Mas’ud r.a. datang kepada Nabi s.a.w. dan berkata; ‘Wahai Nabi Allah, engkau telah memerintahkan hari ini agar kami bersedekah. Aku mempunyai satu perhiasan milikku, maka aku ingin bersedekah dengannya’. Ibnu Mas’ud (suaminya) mengadu kepada Rasulullah s.a.w. bahawa dia dan anaknya paling layak untuk memberi sedekah isterinya itu. Lalu Nabi berkata kepada Zainab; “Benarlah Ibnu Mas’id. Suami kamu dan anak kamu lebih berhak dengan sedekah kamu itu”. (HR Imam al-Bukhari).
2. Imam Abu Hanifah berpandangan; tidak harus kerana besar kemungkinan zakat itu akan kembali kepadanya apabila suaminya menggunakan wang zakat itu untuk membeli makanan, pakaian atau sebagainya lagi dari perbelanjaan keluarga. Berkenaan hadis tadi, Imam Abu Hanifah menganggap sedekah yang dimaksudkan dalam hadis itu ialah sedekah sunat, bukan zakat yang diwajib.
3. Menurut kebanyakan ulamak mazhab Maliki pula; membayar zakat kepada suami adalah makruh.
Walahu a’lam.
Rujukan;
1. al-Fiqh al-Wadhih, Dr. Muhammad Bakr Ismail, 1/512.
2. Fiqh az-Zakah, Syeikh ‘Abdurrazzaq Nashir Muhammad, hlm. 150.
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL at 7:54 PM
Labels: Ibadah, Muamalat (Harta)

PERMAINAN KUTU DAN CABUTAN GILIRANNYA

Soalan
Ustaz saya nak tanya tentang permainan kutu. sekali pandang nampak halal. ok begini,
Pekerja office saya ada membuat \"main kutu\". satu kepala atau seorang RM100 seramai 11 orang jadinya setiap orang akan dapat 1100 (100 duit sendiri) tiap bulan. Yang jadi masalahnya tiap bulan cabutan akan dibuat, siapa dapat happy la..Saya melihat disini ia ada unsur judi, sebab sebelum cabutan-cabutan mengharap nasibnya akan kena, jadi saya fikir kalau dibuat cabutan number giliran yang dah tetap siapa yang dapat tiap bulan sebagai contoh, Mamat bulan jan, Abu bulan feb, Ali bulan mac dan seterusnya itu adalah harus.
Saya harap sangat komen ustaz..
Jawapan
Setakat info yang diberikan dan juga menurut pengetahuan saya berkenaan skim 'kutu' ini, secara dasarnya saya lihat urus aturan 'kutu' ini adalah harus.
Ini adalah kerana sebenarnya wang diperolehi oleh seseorang itu hanyalah wangnya sendiri yang terkumpul pada masa akan datang, cumanya keistimewaannya apabila tiba gilirannya maka sebagai ahli dia akan dapat menggunakannya secara 'in advance' disebabkan sumbangan wang dari semua ahli kumpulan. Pembayaran 'In advance' ini dari sudut Islam dilihat sebagai pinjaman tanpa faedah dari semua ahli kumpulan. Bermakna, setiap bulan semua ahli kumpulan akan menyumbangkan pinjaman yang mana wang pinjamannya itu akan kembali padanya apabila tiba gilirannya.
Namun demi memastikannya halal, perlulah memastikan semua ahli kumpulan boleh dipercayai, dikenali dan membuat aqad bertulis bagi protect kemaslahatan semua. Tanpanya, permainan terdedah kepada penipuan dan gharar.
Bayangkan zaman hari ini, orang yang nampak baik pun liat nak bayar hutang.
Kesimpulannya, skim 'kutu' antara sesama rakan yang dipercayai dalam jumlah yang terhad dan munasabah serta bertulis adalah harus disebabkan ia hanyalah aktiviti pinjam meminjam.
Aktiviti saling memberi pinjam dengan nilai dan jumlah yang sama adalah harus. Antara hujjah saya adalah seperti berikut :-
Pertama : Keharusan kaedah :-
أسلفني وأسلفك
Ertinya : "Kamu pinjamkan kepadaku nescaya aku juga akan meminjamkan kepadamu kelak" (Mawahibul Jalil, Al-Hattab, 4/395)
Menurut mazhab Maliki, konsep ini dianggap makruh apabila ia memberikan manfaat kepada yang pemberi hutang lalu ia haram, tetapi jika manfaat diperolehi oleh peminjam ia adalah harus.
Namun dalam bab ini kedua-dua pihak mendapat manfaat yang sama rata. Justeru ia sewajarnya diharuskan. Inilah yang diperolehi dari skim 'kutu' ini.
Kedua : Tidak termasuk dalam bentuk faedah yang dilarang.
Kebanyakkan ulama berpendapat bahawa tindakan ini adalah harus di sisi Syariah atas sebab ia tidak termasuk dalam pinjaman dengan faedah yang dilarang oleh Shariah. Jumlah dan tempoh pinjaman juga adalah serupa. Ini menjadikannya tiada sebarang lebihan manfaat yang boleh menjadikannya haram.
Manakala syarat untuk memberi pinjam semula tadi, jikapun ia dianggap sebagai satu manfaat namun ia adalah manfaat yang sama kepada dua-dua pihak dan bukan hanya satu pihak yang boleh membawa penindasan. Ia juga boleh dilihat dalam isu ‘Suftajah'. Demikian menurut pendapat Ibn Qudamah, Ibn Taymiah dan Ibn Qayyim. Malah diperjelaskan lagi oleh Prof. Dr Nazih Hammad (Qadhaya Fiqhiyyah Mu'asiroh fi iqtisad wal Mal, Nazih Hammad, hlm 230)
Ketiga : Riba diharamkan disebabkan kerana zalim yang berlaku ke atas satu pihak.
Namun di dalam hal ni tiada sebarang kezaliman berlaku kerana kedua-duanya mendapat jumlah, dan tempoh yang sama, cuma di waktu yang berbeza sahaja.
Ibn Qayyim berkata :-
والشارع نهي عن الربا لما فيه من الظلم
Ertinya : "Shariah melarang riba disebabkan kerana kezaliman yang terdapat padanya" ('I'lam al-Muwaqqi'en, 1/386)
Adapun persepakatan dalam pinjaman berbalas dengan jumlah dan tempoh sama ini tiada terkandung di dalamnya sebarang zalim kepada mana-mana pihak. (Qadhaya Fiqhiyyah Mu'asiroh fi iqtisad wal Mal, Nazih Hammad, hlm 231)
Perihal Cabutan Untuk Menentukan Giliran
Tepat sekali, permainan 'kutu' akan menjadi semakin bersih dan baik jika giliran telah ditentukan dari awal agar semua pihak tidak tertunggu-tunggu.
Namun, setakat pengamatan saya berdasarkan perbincangan para ulama berkenaan asas 'undian' atau disebut dalam bahasa 'Arab sebagai Qur'ah boleh dilakukan apabila semua pihak mempunyai hak yang sama untuk terpilih. Hukumnya adalah harus dan tiada unsur judi di situ. Nabi Muhammad SAW juga pernah mencabut undi untuk melihat siapa dari kalangan isterinya yang akan terpilih untuk bermusafir bersama baginda SAW.

Saturday, January 23, 2010

20 JANGAN !!

Sesungguhnya dalam hidup kita dikelilingi oleh perkara-perkara yang menyeronokkan. Tetapi itulah sesungguhnya yang mendatangkan keburukan kepada kita. Dibawah ini terdapat 20 perkara JANGAN yang seharusnya kita ambil ikhtibar.Tidak dapat dinafikan ada terdapat perkara-perkara yang terkena pada diri sendiri.Tetapi sebagai umat ISLAM, kita harus saling ingat memperingati diantara satu sama lain. Semoga kita umat Islam akan terus mengungguli dunia,InsyaALLAH.

1. Jangan sengaja lewatkan solat. Perbuatan ini Allah tidak suka. Kalau tertidur lain cerita..
2. Jangan masuk ke bilik air tanpa memakai alas kaki (selipar). Takut kalau-kalau terbawa keluar najis,mengotori seluruh rumah kita.
3. Jangan makan dan minum dalam bekas yang pecah atau sumbing. Makruh kerana ia membahayakan.
4. Jangan biarkan pinggan mangkuk yang telah digunakan tidak berbasuh. Makruh dan mewarisi kepapaan.
5. Jangan tidur selepas solat Subuh, nanti rezeki tertutup (kerana berpagi-pagi itu membuka pintu berkat).
6. Jangan makan tanpa membaca BISMILLAH dan doa makan. Nanti rezeki kita di kongsi syaitan.
7. Jangan keluar rumah tanpa niat untuk membuat kebaikan. Takut-takut kita mati dalam perjalanan buat keburukan atau maksiat.
8. Jangan pakai kasut atau selipar yang berlainan pasangan. Makruh dan mewarisi kepapaan.
9. Jangan biarkan mata liar di perjalanan. Nanti hati kita gelap diselaputi dosa.
10. Jangan bergaul bebas ditempat kerja. Banyak buruk dari baiknya.
11. Jangan menangguh taubat bila berbuat dosa kerana mati boleh datang bila-bila masa.
12. Jangan ego untuk meminta maaf pada ibu bapa dan sesama manusia kalau memang kita bersalah.
13. Jangan mengumpat sesama rakan taulan. Nanti rosak persahabatan kita.Hilang bahagia.
14. Jangan lupa bergantung kepada ALLAH dalam setiap kerja kita. Nanti kita sombong apabila berjaya.Kalau gagal kecewa pula.
15. Jangan bakhil untuk bersedekah. Sedekah itu memanjangkan umur dan memurahkan rezeki kita.
16. Jangan banyak ketawa. Nanti mati jiwa.
17. Jangan biasakan berbohong, kerana ia adalah ciri-ciri munafik dan menghilangkan kasih orang kepada kita.
18. Jangan suka menganiaya manusia atau haiwan. Doa makhluk yang teraniaya cepat dimakbulkan ALLAH.
19. Jangan terlalu susah hati dengan urusan dunia. Akhirat itu lebih utama dan hidup di sana lebih lama dan kekal selamanya.
20. Jangan mempertikaikan kenapa ISLAM itu berkata JANGAN.Sebab semuanya untuk keselamatan kita.ALLAH lebih tahu apa yang terbaik untuk hamba ciptaannya.

Bersama kita hayati..jikalau ada salah harap di perbetulkan..Hanya sekadar renungan dan panduan kita bersama...Apa yang baik itu datangnya dari Allah dan apa yang buruk itu datangnya dari kelemahan diri ini...

KELEBIHAN AL-QURAN

Al-Quran ialah Kitabullah yang terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Al-Quran merupakan senjata yang paling mujarab yang melimpah ruah, mata air yang tidak mungkin kering, di dalamnya penuh dengan nur hidayah rahmat dan zikir.

Al-Quran diturunkan untuk mengajar manusia tentang pengesaannya kepada Allah (tauhid). Konsep ibadat yang jelas dan menyeluruh agar manusia sentiasa mendapat bekalan yang baru dan segar. Mengajak manusia berfikir tentang ciptaan, pengawasan dan penjagaan yang ditadbirkan oleh yang Maha Agong agar dapat mengenal sifat-sifatNya yang Unggul.

Di dalam Al-Quran dipaparkan juga contoh tauladan dan juga kisah-kisah yang benar berlaku sebelum turunnya Al-Quran dan pada masa penurunan Al-Quran. Dengan itu manusia mendapat pengajaran dan panduan dalam mengharungi kehidupan sebagai muslim yang sejati dan benar dalam semua bidang kehidupan.

Al-Quran menjelaskan juga persoalan tentang akhir kehidupan manusia, situasi terakhir yang akan dirasai oleh manusia sebelum bumi ini dihancurkan oleh Allah untuk bermulanya hari qiamat dan nasib tiap-tiap insan sama ada ke syurga atau ke neraka.

Sebelum Al-Quran diturunkan ada banyak kitab suci dan suhuf yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada nabi-nabi dan rasul-rasulNya. Antara yang termasyhur ialah kitab Zabur yang diturunkan kepada nabi Daud a.s, kitab Taurat yang diturunkan kepada nabi Musa a.s, dan kitab Injil yang diturunkan kepada nabi Isa a.s tetapi tidak syak lagi bahawa Al-Quran adalah kitab yang paling utama dan termulia di sisi Allah S.W.T.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w telah bersabda yang berbunyi:

Dari Aisyah r.a telah bersabda Rasulullah s.a.w: Sesungguhnya tiap-tiap sesuatu itu mempunyai kemegahan yang mana manusia berbangga dengannya dan menjadi kemegahan kebanggaan umatku ialah Al-Quran yang mulia.

Al-Quran terpelihara dan susunannya tidak berubah-ubah dan tidak boleh dipinda atau dihapuskan. Walaupun banyak usaha dilakukan oleh musuh-musuh Islam untuk mengubah dan meminda isi kandungan Al-Quran atau memutar belit ayat-ayat dan surah-surah, setiap kali usaha itu dibuat ia tetap dapat diketahui termasuk juga usaha golongan-golongan kuffar.

Al-Quran adalah satu perlembagaan yang lengkap bagi semua aspek kehidupan, mengandungi semua yang dihajati oleh manusia walaupun sebahagian daripada huraiannya tidak terperinci. Tujuannya Allah menyuruh manusia menggunakan fikiran yang sihat dan sempurna untuk mencari dan mengkaji berpandukan saranan yang diberi oleh Allah S.W.T.

Dalam Al-Quran Allah S.W.T berfirman:

Sesungguhnya telah datang kepada kau cahaya kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w) dari Allah dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata kebenarannya dengan itu Allah menunjukkan jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaanNya dan denganya Tuhan keluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang benderang dengan izinNya dan dengannya juga Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang betul dan harus. (Surah Al-Maidah: 14 &15)

Firman Allah S.W.T lagi:

Kitab Al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya dan ianya menjadi petunjuk bagi orang yang bertaqwa. (Surah Al-Baqarah: 2)

Sebuah hadis dari Rasulullah s.a.w berbunyi:

Abu Zar r.a berkata bahawa beliau meminta Rasulullah s.a.w memberi satu pesanan yang berpanjangan.

Rasulullah s.a.w bersabda:

“Semaikanlah perasaan taqwa kepada Allah kerana ia adalah sumber bagi segala amalan-amalan baik. Aku meminta supaya baginda menambah lagi. Tetapkanlah membaca Al-Quran kerana ia adalah nur untuk kehdupan ini dan bekalan untuk hari akhirat.”

Kita dikehendaki membaca, mendalami dan menghayati isi kandungan Al-Quran kerana ia diturunkan bukan untuk dijadikan perhiasan sahaja, dengan itu kita mendapat faedah yang besar bukan sahaja pahala da keredhaan Allah tetapi juga kegunaan lain dalam kehidupan sehari-hari.

Membaca Al-Quran dikira sebagai berzikir dan zikir membaca Al-Quran lebih afdal dan utama daripada zikir-zikir yang lain. Oleh itu membaca Al-Quran adalah sebagai ibadat tetapi tidaklah melebihi daripada ibadat-ibadat yang wajib.

Dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda:

Semulia-mulia ibadat umatku ialah membaca Al-Quranul Karim ( ibadat yang bukan wajib).

Membaca Al-Quran disifatkan sebagai santapan rohani kepada tiap-tiap orang Islam.

Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadis berbunyi:

Sesungguhnya Al-Quran ini ialah hidangan Allah S.W.T maka hendaklah kamu terima hidangan Allah sebanyak mana yang kamu boleh.Al-Quran juga merupakan senjata yang paling berkesan untuk membersihkan jiwa dan menyinarkannya.

Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w bersabda:

Daripada Ibnu Umar r.a berkata:

“Rasulullah s.a.w telah bersabda, hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air. Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula. Katanya dengan banyak mengingati mati dan membaca Al-Quran.”


PAHALA MEMBACA AL-QURAN

Allah S.W.T. Yang Maha Pemurah memberi pahala yang amat besar kepada orang yang membaca Al-Quran, tiap-tiap satu huruf ada pahalanya dan tiap-tiap satu ayat pun ada ditentukan pahalanya yang tidak sama antara satu dengan yang lain.

Pahala tiap-tiap huruf Al-Quran dijelaskan dalam sebuah Hadis dari Ibnu Masud r.a dari Rasulullah s.a.w:

Daripada Ibnu Masud r.a telah berkata bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda/; Barangsiapa membaca satu huruf daripada Kitabullah maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan Alif Laam Miim satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.

Mengenai pahala tiap-tiap ayat telah disebut dalam beberapa hadis antaranya yang diriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a telah bersabda Rasulullah s.a.w:

Sesiapa yang membaca Al-Quran sepuluh ayat dalam satu malam tidak dimasukkan ke dalam golongan yang lalai. Sesiapa yang memelihara sembahyang fardu tidak termasuk dalam golongan yang lalai dan sesiapa yang membaca 100 ayat pada satu malam dimasukkan ke dalam golongan yang taat.

Barangsiapa yang mendengarkan satu ayat daripada Al-Quran ditulis baginya satu kebajikan yang berlipat kali ganda dan barang siapa yang membacanya adalah baginya cahaya pada hari Qiamat.

Adapun pahala membaca surah-surah banyak diriwayatkan dalam hadis-hadis Rasulullah s.a.w antaranya:

Sesiapa yang mambaca surah Yasin dipermulaan hari, segala hajatnya bagi hari itu dipenuhi.

Sesiapa yang membaca surah al-Waqiah pada tiap-tiap malam kebuluran/kepapaan tidak akan menimpa dirinya.

Selain daripada pahala yang disebut sebelum ini, pahala membaca dalam solat dan pahala membaca dengan berwuduk lebih besar ganjarannya daripada tidak berwuduk.

Berpandukan Hadis Rasulullah s.a.w yang panjang dapat disimpulkan seperti berikut:

1. Pahala membaca Al-Quran dalam solat bagi tiap-tiap satu huruf seratus kebajikan.

2. Pahala membaca dengan berwuduk di luar solat bagi tiap-tiap satu huruf sepuluh kebajikan.


KELEBIHAN MEMBACA AL-QURAN

Orang yang selalu membaca Al-Quran semata-mata kerana Allah diberi kelebihan yang tinggi dan berbeza semasa mereka masih hidup ataupun sesudah berada di akhirat di samping kemuliaan yang dikurniakan kepada orang yang membaca Al-Quran kelebihan melimpah juga kepada kedua ibubapanya.

Hadis dari Rasulullah s.a.w yang berbunyi:

Sesiapa yang membaca Al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya, ibubapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinarannya akan melebihi daripada cahaya matahari jika matahari itu berada di dalam rumah-rumahnya di dunia ini. Jadi bayangkanlah bagaimana pula orang yang dirinya sendiri mengamalkan dengannya.

Al-Quran juga dapat memberi syafaat (pertolongan) yang paling tinggi di sisi Allah S.W.T di hari qiamat. Ini berpandukan kepada Hadis Rasulullah s.a.w yang berbunyi:

Tidak ada syafaat yang paling tinggi melainkan Al-Quran yang bukan Nabi dan bukan malaikat dan sebagainya.

Hadis lain daripada Othman Ibnu Affan r.a dari Rasulullah s.a.w yang berbunyi:

Sebaik-baik kamu yang mempelajari Al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain.


KERUGIAN MEREKA YANG TIDAK MEMBACA AL-QURAN

Dalam hadis Rasulullah s.a.w baginda ada menyebut tentang orang yang tidak ada langsung membaca Al-Quran dan rongga mulutnya kosong dengan ayat-ayat Al-Quran seperti rumah yang kosong dari penghuni.

Hadis dari Rasulullah s.a.w berbunyi:

Sesungguhnya orang yang tidak ada pada rongganya sedikitpun daripada Al-Quran seperti rumah yang ditinggalkan kosong.


ADAB MEMBACA AL-QURAN

Seseorang yang membaca Al-Quran seolah-olah ia berada di sisi Allah S.W.T dan bermunajat kepadaNya maka hendaklah menjaga adab-adab yang tertentu yang layak di sisi tuhan Yang Maha Agong lagi Maha Mulia. Ulamak-ulamak muktabar telah menggariskan beberapa adab sebagai panduan sepeti berikut:

1. Hendaklah sentiasa suci pada zahir dan batin kerana membaca Al-Quran adalah zikir yang paling afdal (utama) dari segala zikir yang lain.

2. Hendaklah membaca di tempat yang suci dan bersih yang layak dengan kebesaran Yang Maha Agong dan ketinggian Al-Quranul Karim. Para Ulamak berpendapat sunat membaca Al-Quran di Masjid iaitu tempat yang bersih dan mulia di samping dapat menambah kelebihan pahala-pahala iktiqaf.

3. Hendaklah memakai pakaian yang bersih, cantik dan kemas.

4. Hendaklah bersugi dan membersihkan mulut. Melalui mulut tempat mengeluarkan suara menyebut ayat Al-Quran. Hadis Rasulullah s.a.w berbunyi:

Sesungguhnya mulut-mulut kamu adalah merupakan jalan-jalan lalunya Al-Quran maka peliharalah dengan bersugi.

Berkata Yazid bin Abdul Mallek:

Sesungguhnya mulut-mulut kamu adalah merupakan jalan-jalan lalunya Al-Quran maka peliharalah dengan bersugi.

5. Hendaklah melahirkan di dalam ingatan bahawa apabila membaca Al-Quran seolah-olah berhadapan dengan Allah dan bacalah dalam keadaan seolah-olah melihat Allah S.W.T. Walaupun kita tidak dapat melihat Allah sesungguhnya Allah tetap melihat kita.

6. Hendaklah menjauhkan diri dari ketawa dan bercakap kosong ketika membaca Al-Quran.

7. Jangan bergurau dan bermain-main ketika sedang membaca Al-Quran.

8. Hendaklah berada dalam keadaan tenang dan duduk penuh tertib. Jika membaca dalam keadaan berdiri hendaklah atas sebab yang tidak dapat dielakkan adalah harus.

9. Setiap kali memulakan bacaan lebih dahulu hendaklah membaca Istiazah:

(A'uzubillahiminasy-syaitannirrajim).

Kerana memohon perlindungan dari Allah dari syaitan yang kena rejam.

10. Kemudian diikuti dengan membaca basmallah:

(Bismillahirrahmanirrahim).

Hendaklah membaca Bismillah itu pada tiap-tiap awal surah kecuali pada surah At-Taubah.

11. Hendaklah diulang kembali membaca Istiazah apabila terputus bacaan di luar daripada Al-Quran.

12. Hendaklah membaca dengan Tartil (memelihara hukum Tajwid). Secara tidak langsung menambah lagi minat kepada penghayatan ayat-ayat yang dibawa dan melahirkan kesan yang mendalam di dalam jiwa.

Firman Allah S.W.T:

Kami membaca Al-Quran itu dengan tartil. (Surah Al-Furqan: 32)

Hendaklah kamu membaca Al-Quran dengan tartil. (Surah Al-Muzammmil: 4)

Pengertian Tartil pada bahasa:Memperkatakan sesuatu perkara itu dengan tersusun dan dapat difahami serta tanpa gopoh-gopoh.

Menurut Istilah Tajwid ialah membaca Al-Quran dalam tenang dan dapat melahirkan sebutan huruf dengan baik serta meletakkan bunyi setiap huruf tepat pada tempat-tempatnya.

Saidina Ali k.w berkata:Pengertian tartil ialah mentajwidkan akan huruf-huruf Al-Quran dan mengetahui wakaf-wakafnya.

13. Hendaklah berusaha memahami ayat-ayat yang dibaca sehingga dapat mengetahui tujuan Al-Quran diturunkan oleh Allah S.W.T.

Allah S.W.T. berfirman:

Inilah Al-Quran yang memimpin jalan yang lurus.(Surah Al-Israi’: 9)

Firman Allah S.W.T.:

Kami turunkan Al-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang mukminin.
(Surah Al-Isra’: 82)

Firman Allah S.W.T. lagi:Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu dengan penuh barakah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.(Surah Sad: 29)

14. Hendaklah menjaga hak tiap-tiap huruf sehingga jelas sebutannya kerana tiap-tiap satu huruf mengandungi sepuluh kebajikan.

Hadis dari Rasulullah s.a.w berbunyi:

Diriwayatkan dari Tirmizi dari Abdullah bin Masud daripada Rasulullah s.a.w telah bersabda sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (Al-Quran) maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan Alif Laam Miim satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.

15. Hendaklah membaca al-Quran mengikut tertib Mashaf. Dilarang membaca dengan cara yang tidak mengikut susunan kecuali diceraikan surah-surah dengan tujuan mengajar kanak-kanak adalah diharuskan.

16. Hendaklah berhenti mambaca apabila terasa mengantuk dan menguap kerana seseorang yang sedang membaca Al-Quran ia bermunajat kepada Allah dan apabila menguap akan terhalang munajat itu kerana perbuatan menguap adalah dari syaitan.

Berkata Mujahid:Apabila kamu menguap ketika membaca Al-Quran maka berhentilah dari membaca sebagai menghormati Al-Quran sehingga selesai menguap.

17. Hendaklah meletakkan Al-Quran di riba atau di tempat yang tinggi dan jangan sekali-kali meletakkannya di lantai atau di tempat yang rendah.

Sabda Rasulullah s.a.w berbunyi:

Ubaidah Mulaiki r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Wahai kaum ahli-ahli Al-Quran jangan gunakan Al-Quran sebagai bantal tetapi hendaklah kamu membacanya dengan teratur siang dan malam.”

18. Hendaklah memperelokkan bacaan dan menghiaskannya dengan suara yang baik.
Sabda Nabi s.a.w dalam sebuah hadis:Telah bersabda Nabi Muhammad saw, hiasilah Al-Quran dengan suara-suara kamu.

19. Setiap bacaan hendaklah disudahi dengan membaca:

(Sadaqallahul’azim).

20. Disunatkan berpuasa di hari khatam Al-Quran dan diikuti dengan mengumpul ahli keluarga dan sahabat handai bersama-sama di dalam hari khatam Al-Quran.

Dalam sebuah hadis ada menjelaskan kelebihan orang yang telah khatam Al-Quran menerusi sebuah hadis yang berbunyi:

Telah bersabda Nabi Muhammad s.a.w, sesiapa yang telah khatam Al-Quran baginya doa yang dimakbulkan.